Kehilangan

Monday, 17 October 2016

Pengalaman Menemu bual pelajar Iraq

Pengalaman saya menemu bual  seorang pelajar antarabangsa dari negara Iraq merupakan sebuah pengalaman yang berharga kerana saya dapat mengetahui bagaimana rakyat mereka menjalani kehidupan seharian di negara mereka yang sedia diketahui berlakunya pertumpahan darah sejak tahun 2003. 

Anak tangga di Perpustakaan Sultanah Bahiyah saya daki sambil melilau mencari kelibat pelajar antarabangsa dan tertancap ke arah seseorang pemuda yang sasa tubuhnya serta berkulit cerah.  Saya mendekati beliau dan meminta kerjasama beliau untuk berkongsi pengalaman beliau.  Nama beliau ialah Mahmud dan berusia 25 tahun.  Kami duduk saling berdepan bagi memudahkan proses komunikasi.  Pelbagai soalan saya ajukan berkenaan bagaimana beliau mengadaptasikan diri di negara ini dan apa komen beliau tentang rakyat Malaysia.  Beliau mengatakan bahawa rakyat Malaysia sangat peramah dan mudah didekati oleh itu mudah bagi beliau untuk membiasakan dirinya di sini.

Mata hijaunya berkaca apabila saya tujukan soalan tentang kebudayaan di Iraq.  Beliau menyatakan bahawa beliau tidak berapa pasti tentang kebudayaan di negaranya kerana peperangan yang berlaku telah menyebabkan mereka hidup di dalam kekacauan dan ketakutan.  Penculikan dan pengeboman telah menjadi lumrah di sana. 

Ketika beliau tiba di Malaysia, beliau sangat teruja melihat keadaan yang cukup berbeza di sini.  Tiada peperangan dan tiada kegetiran yang dirasai di wajah rakyat Malaysia.  “Malaysia begitu aman!” beliau dengan teruja menyatakan hal itu dan terpapar sedikit kegembiraan di wajahnya yang putih bersih.  Namun, kegembiraan di wajahnya berubah serta-merta apabila saya menanyakan tentang keadaan keluarganya di sana.  Saya mula diselubungi rasa bersalah dan menyuruh beliau untuk tidak menceritakannya tetapi beliau mempamerkan indah senyumannya dan mula bercerita. 

Beliau tiba di Malaysia pada awal tahun 2014 untuk menyambung pelajarannya dalam bidang Teknologi Maklumat.  Sebelum berangkat ke sini, beliau baru sahaja kehilangan ibunya akibat terkena peluru berpandu yang telah dilancarkan oleh Amerika Syarikat.  Adik perempuannya yang berusia lapan tahun pula telah meninggal dunia ketika beliau berada di sini kerana kehausan dan kelaparan kerana semua warga Iraq terpaksa bergantung pada sumber air yang sangat terhad dan tercemar.  Sejak beliau ke sini, beliau belum pernah berpeluang untuk kembali ke tanah airnya kerana berlaku masalah dengan visa dan imigresen.  Saya dengan beraninya menanyakan tentang perasaan beliau yang sudah lama tidak berjumpa dengan ahli keluarganya dan beliau memberi jawapan yang sangat saya kagumi.  “Tiada yang perlu dirisaukan, dunia ini hanya persinggahan buat kita semua.  Allah telah menjanjikan syurga bagi mereka yang telah ‘pergi’ dan saya sangat yakin bahawa Allah s.w.t akan mempertemukan kami semula ‘di sana’ nanti.  Kehidupan di dunia dan akhirat seperti satu nisbah infiniti oleh itu kita perlu berjuang untuk kehidupan yang tiada penghujungnya nanti.” Katanya yang penuh keyakinan terhadap yang Maha Esa.  

Beberapa pesanan ditinggalkan beliau sebelum kami menamatkan sesi temu bual tersebut.  Antara pesanannya adalah sebagai umat Islam kita perlu percaya dengan ketentuannya dan percaya dengan janji Allah dan bukannya manusia.  Akhir kata beliau mengingatkan bahawa ujian yang hebat buat hambaNya yang hebat.  Oleh itu, dapat saya simpulkan betapa kita perlu mensyukuri terhadap limpahan nikmat dan rezeki yang kita rasai pada hari ini.


No comments: