Kehilangan

Saturday 22 October 2016

Apa itu Pedofilia?

Pedofilia merupakan gangguan seksual terhadap remaja atau kanak-kanak yang berumur 14 tahun ke bawah.  Pemangsa kegiatan tidak bermoral ini kebiasaannya berusia 16 tahun atau berusia lima tahun lebih tua daripada mangsa.  Secara umumnya, pedofilia ini kegiatan keji yang melibatkan kanak-kanak.  Menurut Prof Robert J. Waldinger (psikiatri dari Harvard University), kanak-kanak adalah antara kelompok penting bagi merapatkan hubungan di dalam keluarga dan juga komuniti.

Beberapa faktor pedofilia telah diselidik oleh pakar psikologi kanak-kanak.  Punca utama jenayah ini adalah kegagalan ibu bapa memainkan peranan dalam menyekat pergaulan anak-anak tidak kira di antara berlainan mahupun sama jantina.  Sehubungan itu, ibu bapa perlu memberi lebih berhati-hati dengan siapa anak mereka bermain atau berkawan agar mereka tidak menjadi mangsa jenayah ini.  Selain itu, punca kepada kegilaan seksual terhadap kanak-kanak ini adalah disebabkan pendedahan seks yang keterlaluan di media.  Terlalu banyak menonton atau melihat filem yang tidak bertapis akan menimbulkan keinginan untuk mereka mencuba ‘perkara’ itu.  Dengan itu, kerajaan perlu memainkan peranan bagi menyekat kemasukan filem barat dan pihak penggubal undang-undang perlu memastikan Akta Penapisan Filem 1952 dipinda semula agar semua filem luar mahupun dalam negara ditapis dengan baik agar tidak menjejaskan pemikiran masyarakat.  

Pedofilia ini boleh sahaja berlaku di sekeliling kita tanpa kita sedar. Pemangsa juga boleh tergolong daripada ahli keluarga terdekat mahupun orang kepercayaan.  Dengan itu, sebagai masyarakat kita perlu berwaspada dan melindungi anak-anak kecil supaya pemangsa tidak mempunyai peluang melakukan perbuatan terkutuk tersebut terhadap mereka.  Disamping itu, aktiviti menonton televisyen dan penggunaan media oleh kanak-kanak perlu dikurangkan agar mereka kurang terdedah kepada perkara yang tidak sepatutnya.  

Pihak media hendaklah mendedahkan tentang pedofilia melalui pengiklanan Public Service Announcement(PSA) yang penuh informasi secara agresif agar ibu bapa menyedari hal ini tidak boleh dipandang remeh dan mengambil tindakan serta langkah berjaga-jaga.

Pecah amanah hak anak-anak yatim mangsa DUKE

Membahas isu ‘pecah amanah’ seorang bapa saudara kepada Amira, 8 tahun dan Aqilah, 5 tahun yang hanya sebagai pemegang amanah(mutawalli), Muhammad Faizznur Asyraf yang telah menyonglap wang anak-anak Allahyarham Fairuz Nizam dan Allahyarhamah Nova Safitri Azhari yang maut bersama anak bongsu mereka Annisa di Lebuh raya Duta Ulu Kelang (DUKE) tahun lalu.

Yusnidah Hussain, 48, kakak kepada Fairuz Nizam selaku penjaga Amira dan Aqilah telah menghadiri sidang media bagi mendakwa adik bongsunya itu yang hanya memberi wang sebanyak RM16,000 setakat ini sedangkan jumlah wang sumbangan yang diterima masuk ke akaun bank miliknya adalah kira-kira RM300,000.  Keluarga di sebelah ibu (Nova Safitri) pula dikatakan telah mengeluarkan wang insurans milik Fairuz Asyraf berjumlah RM50,000 namun sehingga hari ini, tiada seringgit pun wang tersebut diterima anak-anak yatim ini.  Yusnidah meluahkan kekesalannya, “Orang lain semua ambil kesempatan, tak pernah jaga anak ni pun.”

Namun Faizznur telah tampil membuat penafian di laman sosial milik beliau dan mengatakan itu hanyalah sebuah fitnah.  Selain itu, beliau juga telah melantik seorang peguam bagi saman malu terhadap kakaknya berikutan beliau dan keluarganya telah menerima ugutan serta kecaman netizen. Peguam beliau, Akmal berkata mereka mempunyai bukti seperti slip transaksi bank dan rekod-rekod yang dapat membuktikan dakwaan sebenar terhadap Faizznur.

Satu sidang media akan diadakan oleh pihak Faizznur dalam masa terdekat ini bagi keterangan lanjut.

Abang kandung ditikam 6 kali oleh bakal suami.

Azlina Husin yang berusia 27 tahun telah berkenalan dengan bakal suaminya itu sejak enam tahun yang lalu namun mereka berpisah atas faktor kerja dan kembali rapat sejak dua tahun lalu.  Keputusan untuk mereka berkahwin di buat pada tahun ini namun segala-galanya mula hancur apabila abang kandung Azlina memberitahu bahawa bakal suaminya yang berumur 29 itu sudah pernah berkahwin.  Azlina yang pada mulanya tidak mempercayai kenyataan abangnya itu langsung membuat semakan status bakal suaminya itu. 

Beliau kemudiannya membuat semakan status bakal suaminya itu bersama sama enam anggota keluarganya termasuk abang kandungnya yang juga seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam), Terengganu.  Selepas penipuannya terbongkar, ternyata lelaki itu sememangnya pernah berkahwin sebelum ini.  Azlina yang telah berjanji dengan keluarganya untuk memutuskan hubungan mereka sekiranya perkara yang disangsikan mereka selama ini adalah benar terus memberi kata putus kepada lelaki berkenaan agar hubungan mereka cukup setakat itu sahaja.

Abang Azlina kemudiannya pergi keluar minum bersama lelaki berkenaan.  Kemudiannya, seluruh keadaan menjadi huru-hara apabila ahli keluarga mereka mengetahui tentang pembunuhan kejam abangnya yang ditikam sebanyak enam kali dengan pisau oleh lelaki tersebut.  Suspek kemudiannya melarikan diri bersama seorang rakannya dengan kereta. 

Beliau tidak menyangka bakal suaminya sanggup berbuat demikian kerana sifatnya selama ini sering berlemah lembut dan prihatin.  Azlina sekeluarga berharap suspek segera ditangkap kerana bimbang akan keselamatan ahli keluarga yang lain sekiranya suspek masih bebas.  

Monday 17 October 2016

Pengalaman Menemu bual pelajar Iraq

Pengalaman saya menemu bual  seorang pelajar antarabangsa dari negara Iraq merupakan sebuah pengalaman yang berharga kerana saya dapat mengetahui bagaimana rakyat mereka menjalani kehidupan seharian di negara mereka yang sedia diketahui berlakunya pertumpahan darah sejak tahun 2003. 

Anak tangga di Perpustakaan Sultanah Bahiyah saya daki sambil melilau mencari kelibat pelajar antarabangsa dan tertancap ke arah seseorang pemuda yang sasa tubuhnya serta berkulit cerah.  Saya mendekati beliau dan meminta kerjasama beliau untuk berkongsi pengalaman beliau.  Nama beliau ialah Mahmud dan berusia 25 tahun.  Kami duduk saling berdepan bagi memudahkan proses komunikasi.  Pelbagai soalan saya ajukan berkenaan bagaimana beliau mengadaptasikan diri di negara ini dan apa komen beliau tentang rakyat Malaysia.  Beliau mengatakan bahawa rakyat Malaysia sangat peramah dan mudah didekati oleh itu mudah bagi beliau untuk membiasakan dirinya di sini.

Mata hijaunya berkaca apabila saya tujukan soalan tentang kebudayaan di Iraq.  Beliau menyatakan bahawa beliau tidak berapa pasti tentang kebudayaan di negaranya kerana peperangan yang berlaku telah menyebabkan mereka hidup di dalam kekacauan dan ketakutan.  Penculikan dan pengeboman telah menjadi lumrah di sana. 

Ketika beliau tiba di Malaysia, beliau sangat teruja melihat keadaan yang cukup berbeza di sini.  Tiada peperangan dan tiada kegetiran yang dirasai di wajah rakyat Malaysia.  “Malaysia begitu aman!” beliau dengan teruja menyatakan hal itu dan terpapar sedikit kegembiraan di wajahnya yang putih bersih.  Namun, kegembiraan di wajahnya berubah serta-merta apabila saya menanyakan tentang keadaan keluarganya di sana.  Saya mula diselubungi rasa bersalah dan menyuruh beliau untuk tidak menceritakannya tetapi beliau mempamerkan indah senyumannya dan mula bercerita. 

Beliau tiba di Malaysia pada awal tahun 2014 untuk menyambung pelajarannya dalam bidang Teknologi Maklumat.  Sebelum berangkat ke sini, beliau baru sahaja kehilangan ibunya akibat terkena peluru berpandu yang telah dilancarkan oleh Amerika Syarikat.  Adik perempuannya yang berusia lapan tahun pula telah meninggal dunia ketika beliau berada di sini kerana kehausan dan kelaparan kerana semua warga Iraq terpaksa bergantung pada sumber air yang sangat terhad dan tercemar.  Sejak beliau ke sini, beliau belum pernah berpeluang untuk kembali ke tanah airnya kerana berlaku masalah dengan visa dan imigresen.  Saya dengan beraninya menanyakan tentang perasaan beliau yang sudah lama tidak berjumpa dengan ahli keluarganya dan beliau memberi jawapan yang sangat saya kagumi.  “Tiada yang perlu dirisaukan, dunia ini hanya persinggahan buat kita semua.  Allah telah menjanjikan syurga bagi mereka yang telah ‘pergi’ dan saya sangat yakin bahawa Allah s.w.t akan mempertemukan kami semula ‘di sana’ nanti.  Kehidupan di dunia dan akhirat seperti satu nisbah infiniti oleh itu kita perlu berjuang untuk kehidupan yang tiada penghujungnya nanti.” Katanya yang penuh keyakinan terhadap yang Maha Esa.  

Beberapa pesanan ditinggalkan beliau sebelum kami menamatkan sesi temu bual tersebut.  Antara pesanannya adalah sebagai umat Islam kita perlu percaya dengan ketentuannya dan percaya dengan janji Allah dan bukannya manusia.  Akhir kata beliau mengingatkan bahawa ujian yang hebat buat hambaNya yang hebat.  Oleh itu, dapat saya simpulkan betapa kita perlu mensyukuri terhadap limpahan nikmat dan rezeki yang kita rasai pada hari ini.